Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web

jom!s.gif (5953 bytes)

SHAHNON TERPENGARUH
"MOOD" POLITIK ANWAR


Novel popular Shahnon Ahmad bertajuk Ranjau Sepanjang Jalan memikat ramai pembaca. Mengambil lokasi Banggol Derdap di Kedah, Shahnon menceritakan kedaifan hidup sepasang suami isteri bernama Lahuma dan Jeha. Latar masa novel ini ialah tahun 1960-an. Ketelitian Shahnon menggambarkan kemiskinan di kampung ini amat mengagumkan.

Dengan mengambil Lahuma dan Jeha sebagai watak penting, karya Shahnon bergerak dengan begitu terperinci untuk membuat pembaca merasai sendiri kesusahan suami isteri ini. Leha yang gila dan Lahuma yang terkena duri nibung amat menyentuh perasaan. Kesusahan mereka bertindih-tindih bagaikan tiada kesudahan.

Kalau kita mengenali karya Shahnon secara dekat dan merapati Shahnon sendiri sebagai sasterawan, novelis ini memang seorang penulis yang cukup teliti dan bersungguh-sungguh dalam menghasilkan karya. Shahnon sudah sekian lama menjadi Shahnon. Novel-novelnya yang lain seperti Rentong, Srengenge, Sampah, Kemelut, Tok Guru dan Sultan Baginda mendapat sambutan yang bukan sedikit daripada pembaca.

Dunia sastera sebenarnya telah menemui seorang pengkarya yang luar biasa. Kerana itu juga dalam konteks sastera Shahnon tidak pernah ‘diapa-apakan’, malah setiap karya baru yang dihasilkannya disingkap dengan menggunakan pelbagai pendekatan. Tujuannya untuk melihat nilai estetika dari segenap sudut.

Bagaimanapun, apabila novel terbarunya bertajuk SHIT dihasilkan, semua perhatian tertumpu kepada Shahnon, tetapi kali ini perhatiannya berlainan sama sekali. Pembaca bukan sahaja mengambil kira plot serta ideanya tetapi juga kata-kata yang digunakan untuk menggambarkan suasana cerita yang berkisar kepada perut.

Sekali pandang, Shahnon memang kelihatan biadap. Bukan itu sahaja, Shahnon juga dirasakan sudah lari daripada landasan ketamadunan manusia. Meskipun kita hidup dalam zaman yang serba terbuka, tetapi usaha untuk memelihara nilai-nilai budaya kita yang halus dan sopan tetap dipupuk.

Dengan menggunakan kata-kata lucah yang keterlaluan, Shahnon telah dilabelkan sebagai pencarut yang bertentangan sekali dengan imejnya sebagai seorang Sasterawan Negara, sekaligus mempunyai gelaran Datuk dan Profesor. Selain itu, Shahnon juga dikaitkan dengan parti Pas kerana keahlian seumur hidup yang dipegangnya. Novel ‘Shit’ dianggap tidak wajar lahir dari seorang penulis bernama Shahnon.

Memandangkan novel ini berupa satira politik yang menyindir iklim politik semasa, pastinya ia tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Tetapi beberapa persoalan telah timbul : mengapa Shahnon begitu tergamak menceritakan tentang keadaan politik yang dianggapnya terlalu buruk dan busuk itu?

Apakah Shahnon mempunyai kepentingan politik dan peribadi kerana sebelum ini, Shahnon beberapa kali turut dikaitkan dengan Gerak? Apakah Shahnon digunakan oleh golongan tertentu untuk mempengaruhi pembaca, lebih tepat lagi menghantar mesej yang tersirat.

Memanglah ada yang berkata, antara sastera dan politik, sepatutnya ada garis pemisah. Shahnon harus dilihat sebagai seorang sasterwan dan bukan ahli politik. Namun begitu iklim politik kita telah dijadikan ‘bahan sastera’, sedikit sebanyak ia telah mencetuskan satu keadaan yang tidak menyenangkan banyak pihak, apatah lagi anaologi yang digunakannya terlalu keras dan kasar.

SHIT: KARYA TERLARIS YANG BUSUK LAGI MEMBUSUKKAN. MENJIJIKKAN, MEMUALKAN, CERMINAN KEKECEWAAN SHAHNON, TAPI MOLEK DALAM KONTEKS POLITIK PAS YANG MENDAKWA MENCARUT ITU DIHALALKAN!!...

| Kembali ke Sensasi Terkini! |


© 1999 Konspirasi Anti-Kerajaan. Hak Cipta Terpelihara.