Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web

jom!s.gif (5953 bytes)

RAKYAT BERSATU NEGARA MAJU


KEJAYAAN membangunkan negara ini adalah kerana semua kaum bersatu untuk meneruskan perjuangan membina sebuah Malaysia yang maju lagi disegani.

Seharusnya kita terus bersatu dan berusaha gigih bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai ini ke alaf baru.  Kita sewajarnya berbangga kerana tidak sampai separuh abad, Malaysia telah mencapai tahap kemajuan yang begitu memberangsangkan. Tetapi ini bukan bererti kita harus berhenti berusaha.

Sehubungan itu, tepat sekali apabila Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menegaskan kejayaan negara keluar daripada kegawatan ekonomi adalah satu kemenangan besar seluruh rakyat Malaysia dan menjadi hadiah istimewa Hari Kebangsaan hari ini.

Tahun ini sambutan Hari Kebangsaan ke-42 yang bertemakan Bersatu ke Alaf Baru agak istimewa kerana inilah kali terakhir kita menyambutnya dalam abad ke-20. Justeru, rakyat seharusnya bersyukur kerana sejak hampir setahun lalu Malaysia berjaya memulihkan ekonomi dengan daya usaha sendiri dan pada masa yang sama mampu mengekalkan keamanan.

Kerja keras khususnya oleh ahli-ahli Exco Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) berjumpa dan berbincang setiap hari sejak penubuhannya untuk mencari jalan menangani kemelut ekonomi akhirnya telah membuahkan hasil positif.  Pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus dalam suku kedua dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - suatu pencapaian yang di luar jangkaan tahun ini sewajarnya diraikan. Tiada siapa dapat menafikan bahawa negara kini sedang menikmati hasil dari kemerdekaan yang kita tempa 42 tahun lalu.

Cabaran yang dijangka lebih hebat di alaf baru mendorong pemimpin kita menggesa rakyat terus menjadikan ungkapan keramat bersatu sebagai obor menerangi jalur perjuangan. Kini tugas, peranan dan tanggungjawab kita bukan sahaja perlu terus mengekalkan amalan bermuafakat dan bekerjasama dalam pelbagai bidang, lebih penting setiap apa yang kita lakukan hendaklah dilakukan dengan penuh kecemerlangan.

Setakat berjaya di peringkat nasional belum cukup untuk kita mendabik dada tetapi pencapaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah kayu pengukur yang sempurna di alaf baru.   Harus diingat segala kemakmuran dan kemewahan ini berjaya dikecapi kerana wujudnya kestabilan politik dalam negara, ditambah pula dengan kekayaan hasil buminya. Tetapi segala-galanya akan musnah jika perpaduan rakyatnya tergugat.

Maka sewajarnya sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar memperingati ulang tahun kemerdekaan negara kita.   Lebih daripada itu, ia mengingatkan kita tentang kekuatan perpaduan, bagaimana perpaduan pelbagai kaum di negara ini suatu ketika dahulu menjadi teras untuk membolehkan kita bebas daripada penjajahan dengan cara paling terhormat.

Justeru, kita mengajak penglibatan luas masyarakat dalam menyambut hari bersejarah ini agar rakyat dari semua generasi dapat memahami betapa mahal dan bernilainya kemerdekaan negara dan pentingnya mereka menghargai dan mempertahankannya.

Perpaduan kaum telah memberi kita keamanan dan kestabilan lantas mencambahkan kemewahan seperti yang kita nikmati sekarang. Maka kita berpendapat selagi rakyat negara ini mampu bersatu dan berpadu, segala cabaran yang bakal menimpa pasti dapat diatasi bersama. 

| Kembali ke Sensasi Terkini! |


1999 Konspirasi Anti-Kerajaan. Hak Cipta Terpelihara.